Monday, November 24, 2008

Apa kena-mengena dengan Obama?


Saya tertarik untuk menulis sedikit tentang kemenangan Obama dalam pilihanraya Presiden Amerika baru-baru ini yang kemudiannya digunakan oleh pihak-pihak yang berpemikiran dangkal untuk mengambil kesempatan atas kemenangan bersejarah itu demi mencari sedikit alasan untuk menghalalkan perjuangan sempit mereka.

Tulisan ini dimotivasikan oleh sebuah tulisan Datuk Rejal Arbee yang disiarkan di KMU.net dengan tajuk "Melayu tak hairan dengan kemenangan Obama". Amat baik sekali kupasan dan jawapan beliau terhadap pihak-pihak yang menyamakan kelayakan Obama untuk menjadi Presiden Amerika dengan kelayakan orang-orang Cina untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Saya membuat salinan artikel Datuk Rejal ke dalam blog ini untuk simpanan sendiri kerana takut-takut KMU akan mengeluarkan artikel tersebut untuk mengurangkan jumlah ruang fail dalam server mereka. Artikel asal boleh dibaca dari link di atas selagi ia masih berada di KMU.net.


Datuk Rejal Arbee: Melayu tak hairan dengan kemenangan Obama
Contributed by rejal on Saturday, November 15 @ 23:17:45 MYT
Topic: RENCANA
Oleh: Datuk Rejal Arbee

Sejak kemenangan Barrack Obama berbagai akhbar perdana khsusnya berbahasa Inggeris yang dikendali/dikuasai bukan Melayu dan psudo Melayu berterusan menyebut bagaimana seorang keturunan negro, seorang minoriti boleh di pilih sebagai Presiden Amerika Syarikat sambil persoal kenapa seorang minoriti bukan Melayu tidak boleh menjadi Perdana Menteri di sini.

Malah beberapa orang pemimpin berbagai NGO yang didominasi bukan Melayu dan sering baik secara langsung mahu pun tidak langsusng persoalkan kedudukan istemewa Melayu turut menyatakan bahawa kemenangan Obama itu harus menjadi teladan untuk diikuti Malaysia.

Bagi mereka ini apa yang mereka timbulkan bukan berbaur perkauman tetapi kononnya adalah untuk perjuangkan kesaksamaan, ia itu warganegara bukan Melayu juga mempunyai hak yang sama dengan Melayu. Dari pandangan mereka kiranya bukan Melayu diterima sebagai rakyat negara yang menikmati hak yang sama kenapa bukan Melayu tidak boleh menjadi Perdana Menteri negara ini.

Mereka secara sewenangnya tidak mahu menerima kenyataan. Sebenarnya bagi orang Melayu pemilihan Obama itu bukanlah suatu perkara aneh sebagaimana ramai bukan Melayu malah orang Amerika sendiri menganggapnya. Kalau Obama atau pun orang seperti Obama berada di Malaysia dia sudah lama boleh menjadi Perdana Menteri negara ini.

Apa tidaknya kalau dilihat bahawa Obama sudah pun berintegrasi dengan kaum majoriti Amerika. Dia secara lazim bertutur bahasa Amerika (Inggeris) dan berpegang kepada budaya dan cara hidup Amerika yang berasaskan kepada budaya pendatang asal ke Amerika Syarikat, ia itu pendatang “The Pilgrims Fathers”. Jadi di Amerika sesiapa saja yang sanggup menerima cara hidup yang berasaskan kepada budaya Anglo-Saxon, ia itu kaum pendatang asal yang kini menjadi kaum majority, dianggap sebagai orang Amerika.

Maka dengan itu apa yang disuarakan orang-orang seperti Tan Sri Ramon Navaratnam dari ASLI dan Transparency International kononnya Malaysia harus mengambil iktibar dengan kemenangan Obama itu dikira pelik oleh orang Melayu. Sebenarnya hasrat yang hendak dinyatakan Navaratnam ini sebagaimana diberitakan oleh akhbar The Sun Jumaat minggu lepas adalah kenapa seorang minoriti seperti rakyat keturunan China atau India tidak boleh menjadi Perdana Menteri di Malaysia.

Hakikatnya tidak ada apa pun yang menyekat mereka itu menjadi Perdana Menteri negara ini. Syaratnya mereka perlulah berintegrasi dan sanggup ujud sebagai seorang Melayu, ia itu kaum majoriti negeri ini. Dan adalah tidak mustahil bagi orang China atau India atau mana-mana etnik bukan Melayu menerajui negara ini asalkan dia sudah berintegrasi sepenuhnya sebagai Melayu.

Orang Melayu sendiri sememangnya cukup akamodatif terhadap bukan Melayu. Mereka yang sedia berintegrasi dengan mudah diterima sebagai Melayu. Perlembagaan pun menetapkan sesiapa saja boleh menjadi Melayu asalkan mereka bertutur bahasa Melayu secara lazimnya, mengamalkan budaya dan cara hidup Melayu serta beragama Islam.

Jadi bagi orang Melayu apa yang hendak dihairankan sangat dengan kemenangan Obama? Kalau di Malaysia orang-orang sepertinya yang telah berasimilasi sepenuhnya dalam budaya asas negara ini sudah lama boleh jadi Perdana Menteri.

Lihat saja Tunku Abdul Rahman, Tun Husein Onn dan Dr Mahathir sendiri. Mereka semuanya bukanlah ethnik Melayu tulen. Semua mereka mempunyai asal usul dari Thai, Turki dan India. Tetapi mereka semua sudah sebati sebagai Melayu kerana memenuhi ketiga-tiga kehendak Perlembagaan Malaysia sebagai seorang Melayu.

Navaratnam sendiri sebagai mana juga Lim Kit Siang atau Karpal Singh malah Teresa Kok pun boleh diterima sebagai Melayu mengikut perlembagaan asalkan mereka memenuhi ketiga-tiga kehendak itu. Mungkin bagi tiga dari mereka ini masanya sudah agak berlalu kerana usia yang sudah lanjut. Mungkin anak-anak mereka boleh diterima sebagai Melayu kiranya sedia memenuhi ketiga-tiga syarat itu. Malah bagi Teresa Kok masanya masih tidak terlambat kerana boleh saja diterima sebagai Melayu bila-bila masa dia bersedia memenuhi ketiga-tiga syarat Perlembagaan itu.

Jadi dalam negara ini siapakah yang sebenarnya bersikap perkauman? Kalau Melayu perkauman Tan Sri Koh Su Khoon sudah tidak mungkin jadi Ketua Menteri Pulau Pinang 10 tahun lalu ketika Umno memenangi kerusi terbanyak, lebih banyak dari Gerakan. Tetapi orang-orang Melayu dan Umno tidak pelampau seperti Navaratnam, Lim Kit Siang, Karpal atau pun Kok. Maka itu dengan memikirkan Pulau Pinang mempunyai majoriti orang Cina, seorang China juga perlu menjadi Ketua Menterinya. Tentunya seorang India tidak mungkin boleh diterima sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Maka itulah PM Singapura Lee Hsien Loong tanpa berselindung menyatakan bahawa tidak mungkin seorang yang bukan China boleh menjadi PM Singapura hanya kerana majoriti orang Singapura adalah orang keturunan China.

Orang-orang Melayu adalah yang paling bersedia berakomodatif dan boleh menerima sesiapa saja sebagai Melayu tanpa kira asal usul hanya dengan mereka itu bersedia berasimilasi dengan masyarakat Melayu. Itulah di Kedah misalnya sesiapa saja tanpa mengira apa pun bangsa bila masuk menjadi seorang Islam sudah dikatakan “masuk Melayu”.

Jadi bagi orang Melayu pemilihan Obama bukanlah suatu yang aneh. Sebab walau pun media Amerika menganggapnya sebagai seorang negro tetapi dia dibesarkan bukan saja sebagai seorang kulit putih tetapi telah berasimilasi sebagai seorang Amerika yang mengikuti cara hidup dan budaya orang Amerika yang berteraskan kepada budaya dan cara hidup Anglo-Saxon, pendatang pertama ke Amerika ia itu “The Pilgrims Fathers”.

Pendatang kemudian juga terdiri dari Anglo-Saxon dari benua Eropah yang semuanya mengikuti budaya dan cara hidup pendatang asal itu. Demikian juga pendatang yang terkemudian termasuk hamba sahaya yang didatangi dari berbagai wilayah Afrika baik di Timur, Barat atau pertengahan benua Afrika semuanya telah sedikit sebanyak menerima bahasa dan budaya yang dibawa kaum Anglo-Saxon.

Bedanya di Malaysia rakyat minoriti tidak pula dikehendaki menganut budaya penduduk asal negara ini, ia itu kaum Melayu. Ramai bukan Melayu baik yang sudah berumur tetapi lebih-lebih lagi dikalangan belia lupa bahawa Malaysia sebenarnya adalah sebahagian daripada gugusan kepulauan Melayu atau Nusantara yang merangkumi wilayah-wilayah Melayu di Selatan Thai hingga ke Sumatera di barat kepulauan Jawa di selatan dan Filipina di timur. Malah beberapa wilayah di Vietnam dan Kampuchea adalah juga wilayah Melayu di mana hingga kini ujud kelompok-kelompok Melayu yang berbahasa Melayu menganuti adat resam Melayu dan beragama Islam.

Sememangnya sejak berzaman di wilayah Nusantara ini sudah sedia ada kerajaan pemerintahan Melayu sebelum kedatangan Islam pun seperti Langkasuka, Srivijaya dan Majapahit. Demikian juga kesultanan Melayu Melaka yang bermula sebagai pemerintahan Hindu bertukar menjadi empire Islam di sini dengan ujudnya kerajaan Kesultanan Melayu.

Dilihat dari perspektif sejarah ini orang-orang Melayu di Nusantara sejak berzaman sering berulang alek diantara wilayah dan kepulauan Nusantara. Mereka hanya di pecahkan kepada berbagai negara berasingan dengan kedatangan penjajah Eropah Inggeris, Belanda, Feringgi dan Sepanyol.

Maka itu apa yang disebut oleh seorang ketua Parti Gerakan bahawa orang Melayu di Malaysia juga pendatang (ia itu sebagaimana juga orang China dan India) berasal dari Sumatera, sebuah negara lain, menunjukkan kejahilannya terhadap sejarah Nusantara.

Mereka ini sering mentohmahkan kononnya Melayu bersifat perkauman, suatu retorik yang sering digunakan oleh mereka yang berpendirian perkauman totok, padahal yang nyata orang-orang Melayulah yang begitu liberal yang boleh menerima apa saja bangsa dan telah begitu akomodatif terhadap bangsa lain.

Apa tidaknya kalau dilihat dari sejarah hinggakan waktu Umno perjuangkan kemerdekaan negara ini pun Melayu terus menunjukkan sikap akomodatif dan toleransi mereka terhadap bangsa lain. Waktu itu kebanyakan daripada penduduk China dan India yang di bawa masuk kemari oleh penjajah British untuk mengerjakan lombong bijeh dan ladang getah mereka tidak diterima sebagai rakyat.

Ketika itu bukan Melayu (China dan India) yang memegang kerakyatan negeri-negeri di sini hanya berjumlah 250,000 orang sahaja, majoritinya di Pulau Pinang dan Melaka (negeri-negeri Selat). Jumlah orang Melayu ketika itu sudah mencecah lebih 2juta.

Inilah keadaanya ketika pilihanraya pertama diadakan pada 1955 yang membawa kepada ‘Home Rule’. Ketika itu terdapat 52 kerusi dipertandingkan untuk menganggotai Dewan Perundangan Persekutuan terdiri dari 98 orang termasuk 46 ahli yang dilantik Penjajah British.

Tun Dr Mahathir dalam ucaptamanya di persidangan mengenai Bangsa Malaysia di Yayasan Kepimpinan Perdana awal minggu ini telah menyebut perkara ini bagi menunjukkan betapa akomodatifnya orang Melayu terhadap bangsa lain. Beliau menyentuh bagaimana penjajah British ketika itu tidak berfikir Perikatan yang telah pun ditubuhkan sebagai gabungan antara Umno, MCA dan MIC untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya itu akan memenangi secukup kerusi melebihi 46 kerusi ahli yang dilantik.

Begitu akomodatifnya Melayu ketika itu walaupun terdiri hampir 90 peratus rakyat telah bersedia memberi laluan kepada calon MCA dan MIC bertanding di kawasan Melayu (dimana jumlah pengundi Melayu melebihi pengundi bangsa lain) melawan calon Melayu dari PAS. Dan calon bukan Melayu ini pula telah mengalahkan calon Melayu, ia itu menunjukkan bahawa pengundi Melayu tidak bersikap perkauman kerana bersedia memilih calon bukan Melayu (dari MCA atau MIC) yang bersaing dengan calon Melayu (PAS).

Maka dengan itu Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dengan satu kerusi dimenangi PAS dan dengan itu telah dapat menubuhkan kerajaan Perikatan dengan majoriti mudah, 51 berbanding 47 (46 ahli dilantik penjajah dan satu kerusi Pas).

Apakah sikap dan pendirian begini menunjukkan orang Melayu perkauman? Kalaulah Melayu perkauman tidak mungkin mereka boleh terima keadaan dimana bangsa minoriti dibenarkan ujud dengan budaya dan bahasa mereka sendiri apabila Negara mencapai kemedekaan pada 1957. Malah sekolah mereka pun dibantu biayanya oleh kerajaan.

Tetapi kini soal bahasa yang sudah lama diputuskan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini terus saja diperkecilkan. Masih ada warga negara ini (yang dilahirkan selepas 1957) yang tidak tahu bertutur bahasa Melayu malah terus saja perkecilkan bahasa itu.

Mereka ini seolah mendapat nafas baru bila kerajaan menggalakan rakyat mempelajari bahasa Inggeris (sebagaimana sepatutnya memandangkan ia adalah bahasa universal) dengan mengabaikan terus bahasa Melayu. Apa tidaknya kalau tanda nama jalan pun mahu diadakan dalam berbagai bahasa kononnya untuk kepentingan pelancung. Berapa ramai sangat pelancung kemari yang tidak boleh baca nama jalan yang dieja dalam huruf rumi?

Sebagai warga negara ini semua rakyat sepatutnya sudah boleh bertutur bahasa Melayu. Tetapi apakah beberapa ikon Malaysia yang terkenal seperti beberapa orang pengusaha dan juga atlit dapatkah mereka ini bertutur bahasa Melayu dengan fasih seperti yang sepatutnya?

Kerajaan Melayu inilah juga yang tidak memaksa bangsa-bangsa minoriti berasimilasi dengan majoriti seperti di Amerika di mana terdapat apa yang sering disebut sebagai “melting pot” di mana semua kaum yang mahu menggelar diri sebagai rakyat Amerika harus mengamalkan budaya dan cara hidup Amerika.

Apakah ini sikap perkauman? Sebenarnya mereka yang persoalkan kedudukan Melayu inilah yang berbaur perkauman.


Rejal Arbee
15 Nov 2008


Saya cuma berminat untuk menambah sedikit sahaja kepada komen Datuk Rejal. Komen Datuk Rejal sudah cukup kukuh untuk mendedahkan minta mereka itu untuk merampas hak-hak orang Melayu.

Obama Tidak Bertembung Dengan Peribumi Amerika

Dari segi peribumi atau tidak, tiada bezanya antara Obama dan McCain. Kedua-duanya adalah kaum pendatang. Malah Obama, mengikut yang saya baca dari internet, bukanlah keturunan kaum kulit hitam yang dibawa sebagai hamba ke Amerika oleh orang-orang kulit dalam abad-abad ke-18 dan 19. Ertinya Obama memang tiada status peribumi langsung seperti McCain lawannya.

Bagaimana mereka yang bukan peribumi di Malaysia ini cuba membandingkan diri mereka dengan Obama sedangkan di Malaysia ini mereka sedang bertembung dengan peribumi? Mungkin orang India di Singapura lebih layak untuk membandingkan diri mereka dengan Obama kerana kedua-dua orang India dan Cina Singapura adalah pendatang ke Singapura seperti kaum kulit putih dan kulit hitam di Amerika. Tetapi orang Cina di Singapura sudah awal-awal lagi mengatakan mereka tidak bersedia untuk menerima kaum selain Cina memerintah Singapura - bayangkan apa akan terjadi kalau kaum kulit putih Amerika berkata mereka belum bersedia menerima kaum kulit hitam sebagai presiden mereka.

Pertembungan kaum Cina dan Melayu di Malaysia ini bukannya pertembungan antara minoriti dan majoriti, tetapi pertembungan antara pendatang dengan peribumi. Orang Melayu di semenanjung mungkin sekarang ini sudah menjadi minoriti kalau bukan kerana diimbangi oleh jumlah peribumi yang ramai di Sabah dan Sarawak. Orang Melayu sudah tidak boleh merasa diri majoriti lagi - lebih-lebih lagi kalau jumlah yang ada itupun dipecah-belahkan lagi oleh perbezaan ideologi politik.

Orang yang cuba membandingkan diri mereka dengan Obama itu jelas tidak berpijak ke bumi nyata atau lupa permasalahan sebenar apabila berkata pertembungan mereka dengan orang Melayu adalah pertembungan antara minoriti dan majoriti.

Peribumi Amerika Sudah Tiada Suara Langsung

Sepanjang hampir setahun saya berada di Amerika, saya belum berjumpa dengan seorang pun kaum peribumi Amerika. Mereka sudahpun dihapuskan secara sistematik dari bumi mereka sendiri sejak lama dahulu. Kini mereka sudah tidak mampu lagi hatta untuk berkata "bumi Amerika ini bumi kami".

Al-hamdulillah orang Melayu masih dikasihi Allah s.w.t. Walaupun dijajah, sisa-sisa perpaduan yang ada hasil kekuatan kuasa politik nenek moyang 500 tahun dahulu masih mampu dikumpulkan untuk mencapai kemerdekaan pada 1957.

Obama tidak pun perlu meminta restu kaum peribumi Amerika yang sudah kehilangan kuasa 100%. Tetapi di Malaysia, peribumi ini masih ada maruah yang ingin dipertahankan. Mintalah restu kami dulu dan hormati hak-hak kami. Biar kami tentukan sama ada anda layak atau tidak.

Bumi yang sekangkang kera inilah hak kami. Orang Cina masih ada benua kecil Cina yang masih banyak ruang yang tidak diduduki. Orang Cina ada Singapura, Taiwan dan Hong Kong yang mereka tadbir sendiri. Orang Melayu ada bumi mana lagi?



-::{{## WAHAI MELAYU ##}}::-
-::{{## TIDAKKAH KAMU BELAJAR SEJARAH ##}}::-